Jaguh bina badan negara, Sazali Samad belum berhasrat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada sukan bina badan walaupun digantung empat tahun oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) gara-gara gagal ujian doping pada 2015.
Sazali yang juga juara Mr Universe sebanyak 10 kali menegaskan, belum wujud dalam kamus hidupnya untuk berhenti apatah lagi jiwanya sudah sebati dengan besi.
Malah, Sazali, 51, tidak menolak kemungkinan untuk kembali beraksi sebagai atlet kebangsaan meskipun usianya semakin meningkat.
"Buat masa ini belum ada dalam kamus untuk berhenti, bersara ... saya teruskan kehidupan seperti biasa, jaga pemakanan, latihan dan sebagainya.
"Orang akan tengok penampilan Sazali Samad dari semasa ke semasa sama ada melalui Facebook atau Instagram, bukan di Malaysia saja malah di luar negara. Apa aktiviti saya lakukan walaupun tidak bertanding buat masa ini.
"Mereka lihat kualiti badan, keadaan saya, mereka tahu saya bersedia untuk bertanding pada bila-bila masa ... jiwa saya sudah sebati dengan besi," kata Sazali ketika ditemui di Kejohanan Bina Badan Mr Putrajaya 2018, hari ini.
Sementara itu, juara Mr Putrajaya 2018, Muhd Asmawi Zolkifli, 24, berkata usahanya menjalani latihan serta mengamalkan diet seimbang, berbaloi apabila diangkat selaku pemenang.
Jelasnya, ia adalah kejayaan terbesar buat dirinya selepas mencuba sejak 2015 sekali gus menjadi tonik terbaik buatnya menjelang aksi Mr Malaysia yang dijadual berlangsung selepas ini.
Untuk rekod, Sazali didapati positif ujian doping yang dijalankan Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September sebelum berlepas ke Tashket, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia ke-49.
Sazali digantung selama empat tahun oleh MBBF berkuat kuasa 22 September 2015, iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan.
No comments:
Post a Comment