Saturday, July 20, 2019
AMALAN GAYA HIDUP SIHAT YANG PATUT ANDA AMALKAN
Ada beberapa elemen penting untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti diet, senaman, cara hidup dan kesihatan mental:
DIET
Kami faham tidak senang nak amalkan pemakanan yang sihat. Tetapi bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kita cabar diri kita untuk makan makanan sihat supaya kita tidak perlu susah di masa hadapan.
Minum air yang secukupnya
Majoriti daripada kita tidak minum air yang secukupnya setiap hari. 60% daripada badan manusia diperbuat dari air dan kebanyakan proses badan menggunakan air. Jadi, logik kan kalau kita minum air untuk menambah balik air dalam badan? Lagi satu, tahukah anda bahawa minum air juga boleh mengurangkan berat badan seseorang?
Makan buah-buahan
Buah-buahan bukan setakat sedap malah mengandungi banyak vitamin dan mineral. Jangan bergantung kepada pil vitamin sahaja. Makanlah buah-buahan seperti tembikai, alpukat (avocado), epal, kiwi, betik dan macam-macam lagi. Semuanya mengandungi khasiat yang tersendiri.
Jangan lupa makan sayur
Kami tahu ramai yang tidak suka makan sayur. Sayur-sayuran sebenarnya boleh menambah baik sistem imuniti badan. Walaupun anda tidak berapa gemar makan sayur, tetapi cubalah makan sayur setiap hari. Bukan untuk kebaikan kami, tetapi kebaikan anda juga. Kan lebih elok mencegah dari berubat.
Hadam nutrien makro
Badan manusia memerlukan karbohidrat (gula), protein (asid amino) dan lemak (lipid). Semuanya mempunyai peranan yang penting. Karbohidrat boleh didapati di dalam sayur-sayuran, bijiran, dan produk tenusu. Karbohidrat penting kerana ia membekalkan tenaga untuk badan. Protein pula penting kerana ia membaiki tisu rosak serta menghasil enzim dan hormon. Antara makanan yang mengandungi kandungan protein yang tinggi adalah makanan laut, daging putih, produk tenusu, dan telur. Manakala lemak pula penting untuk membina sel baru, mengelak darah beku, pergerakan otot dan macam-macam lagi. Lemak yang bagus untuk kita adalah daripada alpukat, keju, biji chia dan juga minyak zaitun. Tetapi pengambilan haruslah berpada kerana pengambilan berlebihan boleh memberikan kesan yang buruk.
Hadam juga nutrien mikro
Nutrien mikro pula adalah vitamin dan mineral yang membantu fungsi fisiologi. Tanpa nutrien mikro secukupnya, banyak masalah yang akan dirasai badan kita. Setiap nutrien mikro mempunyai fungsi tertentu. Contohnya kalsium penting untuk kekuatan tulang dan gigi manakala potassium pula menyeimbangkan tekanan darah di dalam badan. Rancang pemakanan anda mulai hari ini supaya badan anda dibekalkan dengan zat yang seimbang. Jika anda tidak pasti nutrien mana yang harus anda utamakan, rujuklah dengan doktor kesihatan anda.
Elak dari memakan makanan yang diproses
Mengapa makanan diproses seperti makanan dalam tin tidak elok? Sebenarnya kebanyakan nutrisi di dalam makanan hilang ketika diproses dan bahan pengawet pula adalah bahan yang tidak elok untuk badan kita. Makanan yang diproses juga mengandungi kandungan garam yang tinggi yang boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi. Jauhi makanan dalam tin dan lebihkan pengambilan makanan yang segar dan seimbang.
Lebihkan makan daging putih berbanding daging merah
Ada pelbagai kelebihan memakan daging putih berbanding daging merah. Antaranya kandungan lemak yang lebih rendah, kandungan protein yang tinggi, dan risiko sakit kanser adalah jauh lebih rendah. Antara contoh daging merah ialah seperti kambing dan lembu manakala contoh daging putih adalah ikan dan ayam. Tidak dinafikan bahawa daging merah juga mempunyai khasiat dan kebaikan yang tersendiri tetapi perlu diambil dengan kadar yang betul dan lebihkan memakan daging putih untuk hidup sihat.
Kurangkan makanan bergoreng
Memang betul kebanyakan makanan kegemaran kita adalah makanan bergoreng. Nasi goreng dan pisang goreng contohnya. Jika pengambilan makanan bergoreng tidak terkawal, ia boleh meningkatkan kadar kolesterol dan juga tekanan darah tinggi. Adalah lebih baik jika kita memilih makanan yang dikukus atau dibakar.
Kurangkan pengambilan gula
Gula adalah penyebab nombor satu masalah berat badan. Kebiasaannya yang manis itu tidak elok dan yang pahit itu elok. Jika sukar untuk anda tinggalkan terus makanan bergula, anda mungkin boleh cuba jadikan makanan manis sebagai makanan ganjaran.
SENAMAN
Sibuk bekerja bukan alasan untuk tidak bersenam kerana ada pelbagai jenis senaman yang boleh kita cuba lakukan. Jika pejabat anda mempunyai tangga, jangan naik lif tetapi daki tangga. Banyakkan berjalan, jangan duduk di kerusi sahaja. Keseorangan di rumah? Pasang lagu dan menarilah sepuas hati bila orang lain tidak memerhati. Di bawah adalah tip untuk memupuk aktiviti bersenam.
Pilih senaman yang menyeronokkan
Anda tidak perlu mengikut kesemua rutin senaman yang ada di YouTube. Cuba bereksperimen untuk cari senaman yang anda suka lakukan. Golongan introvert mungkin lebih gemar senaman yang boleh dilakukan sendirian seperti jogging dan berenang. Manakala golongan ekstrovert pula mungkin lebih berminat melakukan senaman yang melibatkan penglibatan ramai seperti futsal, badminton, angkat berat dan macam-macam lagi. Mempunyai rakan yang suka bersenam juga boleh membantu dari segi motivasi supaya tidak terlepas bersenam. Tak kenal maka tak cinta kan. Apabila anda sudah jatuh cinta dengan suatu senaman, anda mesti mahu bersenam setiap hari.
Bersenam menggunakan anggota badan yang berlainan.
Jangan fokus kepada satu senaman sahaja. Seperti yang kami kata, semuanya harus seimbang. Jika hari ini anda berlari, apa kata lusa anda bermain badminton pula. Tidak suka badminton? Ada banyak lagi aktiviti lain seperti futsal, berenang dan macam-macam lagi.
Senaman di pejabat
Seperti yang kami kata, tiada alasan untuk tidak bersenam. Ada pelbagai senaman yang boleh dilakukan di meja pejabat anda. Anda boleh lari setempat, lompat bintang dan macam-macam lagi. Untuk lebih banyak jenis senaman yang boleh dilakukan di dalam pejabat, sila lihat video YouTube dibawah.
GAYA HIDUP
Gaya hidup yang sihat adalah sama penting dengan diet sihat dan bersenam. Ubah gaya hidup anda dan lihatlah perubahannya. Di sini kami kongsikan cara untuk hidup dengan sihat.
Tidur secukupnya
Kami mengaku kami pun bersalah dalam hal ini. Tetapi kami sudah sedar. Kekurangan tidur boleh mempercepatkan penuaan. Sanggupkah anda kelihatan seperti seperti seorang yang berumur 40 pada usia 30? Kami tidak mahu!!!
KESIHATAN MENTAL
Perasaan, fikiran dan tindakan kita dalam kehidupan seharian dipengaruhi oleh minda. Dan apabila minda kita sihat, kita lebih cenderung melakukan sesuatu yang positif berbanding negatif. Di sini terdapat beberapa petua untuk meningkatkan kesihatan mental kita.
Buang aspek negatif dalam hidup
Minda yang sihat adalah sebahagian daripada kehidupan yang sihat. Mungkin terdapat beberapa suara negatif dalam hidup kita yang tidak diperlukan. Buat apa simpan orang yang tidak membina diri kita sebagai seorang manusia? Ada banyak keindahan dalam dunia ini dan anda lebih terdedah untuk melihat keburukan dunia dari mulut orang lain? Jangan rugikan kehidupan kita yang singkat ini.
Tetapkan Tujuan hidup
Kehidupan yang sihat bermula dari dalam, dari diri kita sendiri. Mempunyai tujuan hidup membuatkan kita fokus kepada yang elok dan mengelakkan perkara negatif. Contohnya jika tujuan hidup anda adalah membina keluarga yang bahagia, anda akan kurang berfoya-foya dan lebih fokus untuk memperbaiki dan menambah baik kualiti hidup diri sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 Jenis Buah Durian Popular Dan Digemari Di Malaysia
11 Jenis Buah Durian Popular Dan Digemari Di Malaysia Dalam post kali ini, saya nak berkongsi tentang jenis-jenis buah durian yang popular...
-
11 Jenis Buah Durian Popular Dan Digemari Di Malaysia Dalam post kali ini, saya nak berkongsi tentang jenis-jenis buah durian yang popular...
-
Istimewa di Majlis Perkahwinan. Selain melihat pengantin, antara yang menjadi perhatian ketika majlis perkahwinan ialah menu hidangan yang...
-
JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya menangkap seekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Bes...
No comments:
Post a Comment